Sebelum ini saya adalah salah seorang AJK UMNO Cawangan dalam Bahagian Kuala Kedah. Sewaktu PRU12 dahulu saya bertugas di bilik gerakan peti undi di kawasan perumahan yang saya diami dan merupakan kawasan populasi majoriti masyarakat kaum Cina. Selepas pengumuman pembubaran parlimen dan mendapati berlaku pendustaan oleh PM, kestiaan saya kepada BN mulai merosot biarpun Allahyarham bapa saya adalah ‘penyokong tegar’ UMNO/BN. Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang turut menambahkan kemerosotan kesetiaan saya terhadap BN. Pertama, pada suatu malam ada seorang pemuda datang ke bilik gerakan lalu menceritakan bahawa baginda Sultan Kedah diberitakan tidak begitu gembira dengan kawasan DUN Anak Bukit iaitu lokasi istana yang dikuasai oleh PAS. Ertinya baginda menyokong BN untuk mengambilnya semula. Kedua, kira-kira dua hari menjelang tarikh PRU12 bilik gerakan dikunjungi oleh Wanita UMNO dan saya menjelaskan bahawa ada berita bahawa pihak pembangkang melakukan solat hajat memohon supaya Allah memperkenankan permintaan mereka untuk memenangi PRU12. Wanita UMNO yang memakai pakaian menutup aurat itu dengan wajah jelek serta mencebik bibir mengatakan: “Nak buat apa? Tiap-tiap hari dok maki orang!” Saya mula naik muak lebih-lebih lagi apabila harga minyak petrol dan deisel tiba-tiba melambung pada awal Jun 2008 lalu, sedangkan pengumuman seperti yang tersiar di media tidak sampai 48 jam sebelum itu dikatakan akan diselaraskan pada bulan Ogos 2008. Sebenarnya rasa tawar hati saya itu telah berbunga sebelum itu lagi bila saya disingkirkan dari perkhidmatan dengan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan kerana dikatakan prestasi bagi 2004, 2005 dan 2006 tidak memuaskan di samping saya dikatakan tiada daya usaha untuk memulihkan diri. Untuk makluman, saya diserang angin ahmar (strok) mulai 17.9.1999 yang menyebabkan sebahagian badan lumpuh dan terlantar selama 6 bulan di rumah. Semenjak disingkirkan, saya tiada pendapatan tetap dan tiada mana-mana pihak bersedia untuk menawarkan sebarang kerja kepada orang yang seperti saya. Seperkara yang aka menghairankan saya ialah ramai pengundi di pusat pembuangan undi berdekatan kediaman saya adalah bukan Melayu (Cina) tetapi bilangan undi yang diperolehi oleh calon PAS DUN Kubang Rotan menunjukkan mereka telah mengundinya. Pada masa ini saya sedang mempertimbangkan hasrat untuk menyertai parti pembangkang khususnya PAS yang kini dilihat kian menyerlah pentadbirannya di Kedah.
SELAMAT TINGGAL UMNO!
September 22, 2008PENGAJIAN PONDOK (1)
September 17, 2008PENGAJIAN PONDOK DI KEDAH (1).
berdasarkan kajian Teh Koon Hoo, pensyarah Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, istilah pondok berasal daripada perkataan Arab funduq yang membawa maksud tempat tinggal sementara atau hotel. Dalam konteks sekolah pondok, bermaksud tempat pembelajaran yang terdapat rumah-rumah kecil yang dihuni oleh para pelajar berhampiran rumah tuan guru.
Pof Madya Dr Ahmad Jelani Halimi, seorang ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) mengemukakan pendapat sebilangan pengkaji yang mengatakan sistem pengajian pondok berasal dari Pattani.
Kewujudan pondok di Pattani dikatakan mendahului negeri-negeri lain memang ada asasnya kerana dipercayai Pattani menjadi pusat penyebaran Islam kerana bukti kajian menujnjukkan bahawa Islam telah bertapak di sana sejak abad 10M lagi.
Menurut Wan Muhd Shaghir Abdullah, seorang pengkaji sejarah perkembangan Islam di Nusantara, sistem pendidikan pondok telah diasaskan di Pattani oleh keturunan Sheikh Usman, seorang saudagar Arab dari Hadramaut. Salah seorang anak Sheikh Usman ini dikatakan moyang Sheikh Daud al-Fatani.
Walaupun cerita ini sukar dibuktikan, tetapi perkara pokoknya ialah telah wujud sistem pondok di Pattani sebelum abad ke-19M lagi kerana Sheikh Daud al-Fatani yang dikatakan cicit kepada pengasas sistem pondok itu meninggal dunia pada tahun 1847M.
Sementara hasil penelitian Dr Zahidi Dato’ Zainol Rashid, Pengarah Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) yang juga seorang pengkaji sejarah, institusi pondok di Kedah telah diteroka oleh beberapa orang ulama dari Sumatera. Antara tokoh-tokoh berkenaan termasuk Teungku Arshad, Tuan Haji Musa, Syeikh Omar, Teungku Bida’ul Hafiz, Teungku De Bale yang berhijrah dari Daerah Istimewa Acheh ke daerah Yan untuk sama-sama berkecimpung dengan ulama tempatan dalam alam pendidikan agama.
Namun begitu sukar dipastikan adakah peneroka awal institusi podok adalah ulama Sumatera jika diambilkira Acheh menerima Islam 300 tahun sebelum Kedah. Tetapi menurut kalangan pengkaji mendapati kaedah pengajian pondok di Kedah hanya muncul dalam abad ke-19M, sedangkan menurut catatan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tulisan Muhammad Hasan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad, Islam telah diterima di Kedah secara rasmi pada tahun 1136M.
Agak menarik berhubung dengan penelitian Pof Madya Dr Ahmad Jelani Halimi ialah petikan pandangan sebilangan pengkaji berkaitan kelahiran institusi pondok yang dikatakan ditiru daripada tradisi Hindu-Buddha. Ini adalah kerana pada masa itu para mubaligh Islam tidak mempunyai institusi tertentu bagi mendidik dan mengajar beberapa perkara berkaitan agama Islam. Masjid belum wujud pada peringkat awal perkembangan Islam sedangkan ia adalah pusat pendidikan Islam sejak ia mula-mula diturunkan menerusi Nabi Muhammad s.a.w.
Petikan berkenaan memang ada asasnya jika dilihat pada gelaran kepada para pengajar atau pembimbing yang dipanggil Tok Guru atau Pak Guru yang berasal daripada istilah Sanskrit dan bukan ustaz atau astaza iaitu gelaran daripada istilah bahasa Arab. Para pelajar pula dikenali sebagai lebai dan bukan dirujuk sebagai tholib atau muriid.
Sejak dari awal perkembangan tamadun Hindu-Buddha di Asia Tenggara, telah wujud biara dan tempat-tempat tujuan pendidikan agama itu. Bagi negeri-negeri Melayu yang bersempadan dengan Thailand termasuk Pattani dan wilayah-wilayah Melayu lain di selatan negara itu, mereka telah kenal sejenis insitusi pendidikan yang digunakan dalam tradisi Buddha-Thai dikenali sebagai asyram. Oleh kerana itu, para mubaligh hanya perlu mengubahsuai asyram ini daripada tradisi Buddha kepada Islam dan memanggilnya pondok; rumah-rumah kecil yang didirikan oleh pelajar sebagai tempat penginapan mereka dan kelihatan seperti sebuah perkampungan. Perkampungan pondok mungkin juga terbentuk secara tidak sengaja atau lebih jelas lagi tidak dirancang terutama di kawasan sawah padi seperti dijelaskan oleh Dr. Afifuddin Haji Omar:
Sistem ini biasanya diamalkan oleh petani-petani yang datang dari Kelantan dan Pattani. Satu kumpulan pendatang akan berkumpul di sekitar salah seorang mereka itu yang kebetulan banyak pengetahuannya tentang agama Islam ataupun yang sudah terkenal sebagai guru agama. Kumpulan ini dengan dipimpin oleh guru tersebut akan berpindah ke kawasan Muda dan menyatakan sesuatu daerah itu milik mereka dan di sinilah mereka mendirikan perkampungan pondok disekitar sebuah madrasah. Kadang-kadang sebuah kumpulan yang sudah bertapak akan mengundang seorang guru agama dari tempat lain untuk mendirikan madrasah di kawasan mereka.
Di Kelantan kemungkinan besar sistem pendidikan (institusi) pondok berasal dari Pattani kerana pengasasnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Abdullah yang mendapat pendidikan asas di Pattani. Dikatakan beliau telah membuka pondoknya di Pulai Chondong sekitar 1820-an dan dianggap pelopor sistem pondok di Kelantan. Ulama-ulama sebelum dan sezaman dengannya seperti Sheikh Abdul Halim, Hj Yaakub bin Hj Wan Ali al-Kelantani, Hj Omar Ismail Nuruddin al-Kelantani, Hj Ahmad Hj Yusuff dan Hj Taib Ahmad masiih mengajar di surau-surau atau di masjid-masjid.
Bagaimanapun di Kedah kelahiran institusi pondok mungkin agak berbeza kerana jelas terdapat dua pengaruh; pertama pengaruh Pattani dan kedua pengaruh Acheh. Sementara dalam suatu kajian, dinyatakan bahawa pondok-pondok di Kedah dan Pattani adalah mengikut contoh Sumatera atau mendapat ilham dari Timur Tengah. Sistem pondok ini juga mungkin ditiru daripada sistem katatib yang diamalkan di masa pemerintahan kerajaan Bani Abbassiah.
Hasil kajian Teh Koon Hoo merumuskan kewujudan institusi pondok mempunyai pertalian dengan pergolakan politik apabila sebilangan ulama berhijrah ke daerah Yan untuk melanjutkan misi dakwah iaitu bagi mengembangkan syiar Islam. Mereka dikatakan melarikan diri daripada tangkapan pihak Belanda berikutan tercetusnya Perang Paderi (1821-1838) dan Perang Acheh (1872-1904). Sebagai langkah untuk menyelamatkan diri, mereka melarikan diri hingga ke Pattani yang sudah terkenal ketika itu sebagai pusat pengajian Islam melalui institusi pondok.
Di Yan dapat dikesan dua orang orang ulama dari Sumtera iaitu Tuan Fakeh (Minangkabau) dan Teungku Bida’ul Hafiz (Acheh) merupakan tokoh peneroka institusi pondok pada abad ke-19M.
Tuan Fakeh berhijrah ke Kuala Sungai Limau Dalam pada tahun 1810 dan kedatangannya amat disenangi oleh penduduk setempat. Di samping memiliki pengetahuan agama yang tinggi, warak dan berwibawa, beliau juga dikatakan mempunyai kebolehan di bidang perubatan Islam. Penduduk tempatan sering datang menemuinya untuk berubat dan juga bagi menyelesaikan kemusykilan agama, meminta nasihat di samping mempelajari ilmu agama. Selain itu masyarakat setempat menganggap beliau seorang wali keramat.
Ketokohan dan kewibawaan Tuan Fakeh menarik minat anak-anak kampung untuk datang belajar agama dengannya dan setelah beliau terkenal di merata tempat seluruh negeri Kedah, ramai orang luar datang untuk mendalami ilmu agama. Di peringkat awal mereka menumpang di rumah sanak saudara, rumah Tuan Fakeh sendiri dan surau. Disebabkan semakin ramai penuntut datang untuk belajar dengan Tuan Fakeh, penduduk tempatan telah bermuafakat membersihkan kawasan berhampiran rumahnya bagi membolehkan pelajar-pelajar yang datang itu mendirikan pondok.
Kemudahan perhubungan Kuala Sungai Limau Dalam dengan tempat-tempat lain di negeri Kedah melalui jalan laut menyebabkan sambutan masyarakat luar amat menggalakkan. Dikatakan keluasan perkampungan pondok berkenaan meliputi kawasan seluas dua relung.
Perkampungan pondok di Kuala Sungai Limau Dalam merupakan institusi pondok terawal di Kedah. Dengan rentetan pondok yang didirikan oleh kalangan penuntut secara bergotong-royong, muncullah sebuah “kampus” yang lengkap dengan asrama. Kehebatan Pondok Tuan Fakeh bersandarkan kepada ketokohan gurunya, namun pondok tersebut lenyap apabila Tuan Fakeh menghilangkan diri dan mungkin berhijrah ke Mekah.
Sekitar tahun 1880-an muncul Pondok Haji Awang sebagai pusat pengajian Islam di Kuala Sungai Limau Dalam, Yan bagi menggantikan Pondok Tuan Fakeh. Haji Awang merupakan satu-satunya anak kelahiran Semenanjung Tanah Melayu berasal dari Kelantan yang membuka podok di Yan. Sebelum meneruskan pengajian di Pattani dan Mekah, beliau memulakan pengajian pondok di negeri kelahirannya Kelantan.
Seorang lagi ulama yang juga mengasaskan institusi pondok dan bertapak di Yan juga ialah Teungku Bida’ul Hafiz yang berhijrah bersama-sama orang-orang Acheh pada tahun 1850 dan merupakan ulama Acheh yang pertama tiba di daerah Yan. Murid-muridnya yang masih bujang datang bersama-samanya bertujuan mencari tempat yang aman bagi menelaah pelajaran berkaitan ilmu agama.
Bagi merealisasikanya, mereka telah memilih kawasan lapang yang belum didiami oleh penduduk tempatan seperti yang terdapat di Kampung Acheh. Mereka membina pondok-pondok untuk didiami di sekeliling rumah Teungku Bida’ul Hafiz di sepanjang hilir Sungai Yan. Institusi pondok di situ berkembang dengan pesat berikutan penghijrahan orang-orang Acheh secara berterusan sehingga tahun 1945. Pada mulanya iaitu sebelum 1910, pondok berkenaan hanya menerima penuntut di kalangan orang Acheh sahaja dan selepas itu masyarakat tempatan juga ikut serta.
Perkembangannya bermula pada tahun 1850-an apabila seorang lagi ulama Acheh yang bernama Teungku Arshad bersama sebilangan muridnya telah datang ke Pondok Kampung Acheh. Selanjutnya terdapat dua orang lagi ulama juga dari Acheh iaitu Sheikh Omar dan Haji Musa berhijrah ke Kampung Acheh lalu menjadi di antara tenaga pengajarnya. Pondok ini dikatakan bukan sahaja terkenal di Kedah, malahan turut terkenal di seluruh Alam Melayu.
Selain ketokohan, ketaqwaan, kewibawaan dan keperibadian terpuji kalangan ulama yang menjadi tenaga pengajarnya, institusi pondok terawal yang bermula di Yan itu juga mendapat galakan dan penghargaan daripada Sultan Kedah. Pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1854 – 1879) Sekolah Pondok Tuan Fakeh dan Sekolah Pondok Kampung Acheh tidak menghadapi sebarang masalah dengan pihak istana, malah ia mendapat galakan daripada sultan. Kegemilangan institusi pondok dilihat begitu memberangsangkan semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 – 1943) yang sangat mengambil berat tentang hal ehwal agama Islam. Hal ini terbukti apabila didapati baginda sering mengadakan kunjungan ke Yan untk berjumpa dan berkenalan dengan para ulama Acheh di Masjid Yan pada tahun 1921.
Demikianlah permulaan sistem pendidikan pondok di Kedah yang dilihat pertumbuhannya tanpa dipedulikan oleh pihak pentadbir British (Kolonial) sama ada di segi bantuan kewangan serta korikulum pembelajarannya. Mungkin pada masa ia mengalami perkembangan pesat itu mereka yakin institusi pondok tidak memberi sebarang anncaman terhadap sistem pentadbiran Kolonial yang sedia ada. Pada pandangan pihak British, institusi pondok hanyalah bertujuan untuk memperdalami ilmu agama Islam semata-mata dan bukan bertujuan untuk mentadbir sebuah kerajaan apa lagi untuk mengambilalih pemerintahan.
|
Institusi Pondok di Daerah Yan Sebelum Tahun 1909 (Peringkat Awal) |
|||
|
|
|
|
|
|
Tahun |
Nama |
Tempat |
Pengasas |
|
1810-an |
Pondok Tuan Fakeh |
Kuala Sungai Limau Dalam |
Tuan Fakih dari Minangkabau |
|
1850-an |
Pondok Kg Acheh |
Kampung Acheh |
Teungku Bida’ul Hafiz dari Acheh |
|
1880-an |
Pondok Tuan Hj Awang |
Kuala Sungai Limau Dalam |
Haji Awang dari Kelantan |
|
|
|||
|
|
|
|
|
|
Tahun |
Nama |
Tempat |
|
|
1810-an |
Pondok Tuan Fakeh |
Kuala Sungai Limau Dalam |
Tuan Fakih dari Minangkabau |
|
1850-an |
Pondok Kg Acheh |
Kampung Acheh |
Teungku Bida’ul Hafiz dari Acheh |
|
1880-an |
Pondok Tuan Hj Awang |
Kuala Sungai Limau Dalam |
Haji Awang dari Kelantan |
Rujukan:
1. Mahani Musa & Ahmad Jelani Halimi, 2006. Warisan Mahawangsa Kedah, Alor Setar; Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).
2. Md Noor Salleh (Noorjaya) & Abdul Halim Haji Salleh (Abdul Halim “R”). 1998. Islam Di Kedah Darul Aman – Dokumentasi Konensyen Sejarah Kedah Darul Aman Kedua, Alor Setar, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah DA.
3. Cetera Jilid 13, September 2006, Jurnal PSMCK Jilid 13, September 2006, Jurnal PSMCK .
ANAK DYSLEXIA
September 12, 2008Anak saya yang ketiga (lelaki lahir pada 17.9.1987) juga mengalami dyslexia walaupun ringan sahaja. Dulu saya risau juga kerana apa yang ditulisnya terbalik. Misalnya jika huruf ‘b’ dia tulis ‘d’, ‘b’ ditulis ‘d’, ‘p’ ditulis ‘q’ dan ‘q’ ditulis ‘p’. Manakala ‘N’ yang selalunya terbalik, kesimpulannya dia keliru. Begitu juga dengan angka yang selalu jadi mangsa ialah ’4′ dan ’9′. Pernah saya baca tulisannya ‘dersih’ yang sebenarnya ialah ‘bersih’.
Masa dia kecil dulu susah nak berenggang dengan saya atau ibunya bila pergi ke mana-mana. Masa dia mula-mula masuk sekolah darjah satu dulu pula saya tunggu di bilik darjahnya selama seminggu. Abangnya yang masa itu darjah tiga tunggu sebulan.
Saya ikhtiarkan perubatan secara tradisional menerusi dukun yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran (air, gula-gula dan minyak rambut).
Alhamdulillah berhasil biarpun dengan agak perlahan. Lepas tu sekolah cuti pun dia nak pergi ke sekolah. Dia hanya bersekolah di tadika cuma 5 bulan saja berikutan patah tulang selangka. Namun di hari penutup tadika yang mengadakan jamuan di KFC dekat Stadium Darul Aman, Alor Setar, dia joint tapi ibunya terpaksa temankan.
Dia lambat bercakap dan agak pendiam serta tidak berupaya menguruskan dirinya dan pernah buang air kecil dalam bilik darjah masa di tadika. Hampir masuk sekolah darjah satu barulah boleh bercakap terus, sebelumnya ‘telor’.
Masalah yang dihadapinya ialah ‘slow learner’ dan emosi rendah diri, tapi memorinya kuat. Sering juga dia salah faham terhadap sesuatu perkara. Pernah dia tanya saya Jakarta itu jauhkah. Lalu saya beritahu bahawa ia di Indonesia. Sebenarnya ialah Jitra, dan saya ketawa. Pernah juga dia beritahu kakaknya Asmarani Hidayah bahawa dia dilantik jadi ‘bidadari hoki’ di sekolahnya. Sebenarnya ialah ‘Bendahari Hoki’. Saya amat geli hati betul. Barangkali Asmarani masih tak lupakan hal ini.
Kepada abangnya dia pernah tanya berkenaan ‘jangka tolak’ sebenarnya ‘jangka tolok’. Saya cari apa saja maklumat berkenaan dyslexia. Ibunya dan ahli keluarga yang lain kurang ambil perhatian akan hal ini. Masa dia mendaftar untuk mengikuti Kursus Sijil Automotif di Kolej Komuniti Bandar Baru Darul Aman dulu, ibunyalah yang banyak main peranan. Dia duduk di bilik sewa hanya di tahun pertama. Saya berikan dia telefon bimbit dan dia tanya: ”Nak buat apa?” Sebenarnya dia tak tahu apa-apa perihal telefon bimbit, jauh sekali nak guna sms. Sekarang dah cekap, malah selalu chating pula di computer siap dengan headphone dan microphone.
Tahun kedua dia berulang dari rumah dengan motosikal yang hanya ambil masa 25 minit saja. Pernah dia nak pergi ke kolej masa berlaku banjir yang menenggelamkan jalan di Bandar Baru Darul Aman. Bertengkar dengan ibunya yang berpendapat bahawa pihak kolej di tutup akibat bencana alam tu. Malah jalan menuju ke sana di Bandar Alor Setar juga ditenggelami air sekitar seperempat meter. Bila ada kawannya telefon maklumkan mengenai hal itu barulah dia batalkan hasrat tersebut.
Sekarang dia dah bekerja di sebuah bengkel. Seperkara yang perlu diketahui iaitu penghidapan dyslexia lazimnya bukanlah berkekalan dan golongan ini bila membuat sesuatu kerja itu akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Salah seorang penghidap dyslexia ialah Thomas A Edison. Meskipun saya pernah membaca riwayat hidup tokoh sains yang mencipta lampu elektrik dan wayang gambar ini masa di sekolah menengah dulu, baru beberapa tahun kebelakangan ini mengetahui bahawa beliau pernah menghidap dyslexia.
Tentang memori itu anak saya itu boleh mengingat spaner nombor berapa untuk sekeru atau nat. Saya percaya dia banyak menggunakan otak kiri berbanding dengan otak kanan kerana masa di sekolah rendah biarpun tidak berkemahiran membaca tetapi dalam soal kira mengira dia mahir.
Menelusuri sejarah, bukan untuk membawa maksud takbur, saya dah boleh membaca aksara Jawi ketika dalam darjah satu (1960) biarpun tidak pernah masuk tadika sebelum itu.
Mana ada tadika masa tu?
KEDAH DIPERCAYAI NEGERI TERAWAL MENERIMA ISLAM.
September 9, 2008KEDAH DIPERCAYAI NEGERI TERAWAL MENERIMA ISLAM.
SELAMA ini apabila memperkatakan kedatangan Islam ke Tanah Melayu, banyak pihak merujuk tulisan R O Winstedt yang begitu terpengaruh dengan Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Rata-rata merumuskan pendapat bahawa Melaka merupakan negeri terawal menerima Islam.
Sebenarnya sejak kurun kedua Masehi lagi Kedah telah menjadi tumpuan para pedagang Arab termasuk ahli pelayaran dan geografi dengan menjadikan Gunug Jerai sebagai petunjuk utama. Lantas mereka bertumpu ke kawasan Merbok dan Sungai Emas bagi menjalankan urusan perniagaan dengan masyarakat tempatan sehingga lahir Tamadun Lembah Bujang yang pada masa itu para penduduknya menganut agama Hindu dan Buddha.
Penemuan beberapa artifak yang menunjukkan bertapaknya pengaruh Islam di Kedah lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan. Catatan oleh tokoh-tokoh seperti Sulaiman (851 Masehi), Ibni Khoradbeh (844 – 848 Masehi), Ya’qubi (857 – 880 Masehi), Abu Yazid (916 Masehi), Abu Dhulaf (940 Masehi) dan Al-Mas’udi (943 Masehi), juga turut membuktikan perkara ini.
Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dato Haji Wan Samsudin Mohd Yusof sewaktu membentangkan kertas kerja di Seminar Perkembangan Islam Negeri Kedah Darul Aman, di Alor Setar sempena Perayaan Sambutan Jubli Emas Pemerintgahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah baru-baru ini.
“Hasil kerja-kerja cari gali oleh Arkeologis sejak sebelum Perang Dunia Kedua antara lain telah menemui matawang perak dari Dinasti Abbasiyah iaitu pada zaman Khalifah Al-Mutawakkil (847-861 Hijrah).
Salah satu inskripsi yang menarik ialah sekeping batu yang ditemui di persekitaran Gunung Jerai. Pada mulanya ia disimpan di Muzium Taiping tetapi kini telah dipindahkan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Kedah,” katanya.
Catatan aksara Jawi pada inskripsi tersebut menurut belaiu, terdapat seorang tokoh pendakwah bernama Ibni Sirdhan pada tahun 291 Hijrah (904 Masehi) mengembara atas tujuan mengembangkan syiar Islam.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan pendapat Winstedt yang mengatakan Kedah menerima Islam terkemudian dari Melaka itu telah dipertikaikan dan kini tidak dapat diterima lagi kesahihannya.
Menurut keterangan Al-Mas’udi pula, pada tahun 877 Masehi, terdapat kira-kira 120,000 hingga 200,000 orang pedagang Islam dari Arab dan Parsi menetap di Khanfu (Canton yang kini dinamakan Guangzhou).
“Oleh kerana tercetus huru-hara di sana akibat perebutan kuasa, ramai di antaranya terpaksa melarikan diri dan berhijrah ke tempat yang lebih selamat di Alam Melayu termasuk Kedah, Palembang dan Brunei,” katanya.
Penghijrahan beramai-ramai itu menurut beliau, telah menyebabkan wujudnya petempatan baru bagi para pedagang dan pendakwah Islam. Sungguhpun hal itu belum banyak diketahui, sedikit sebanyak pengajaran Islam tentulah turut tersebar di tempat-tempat itu dan Kedah juga tidak terkecuali.
“Di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran pekan Langgar kira-kira sembilan kilometer dari bandar Alor Setar ditemui sepasang batu nisan dengan catatan aksara Arab termasuk tarikhnya iaitu Rabiulawal 291 Hijrah bersamaan 904 Masehi. Padanya terukir nama Syeikh Abdul Qadir Ibni Husin Syah Alirah,” ujar beliau.
Beliau berpendapat, besar kemungkinan tokoh ini adalah seorang ulama dan pendakwah dari Timur Tengah yang bertanggungjawab mengembangkan syiar Islam menerusi sistem “Langgar” yang berasal dari Parsi.
Bagi menguatkan hujahnya berhubung dengan tarikh sebenar kedatangan ke Kedah, beliau mengetengahkan dua sumber dokumen penting iaitu Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (ATSNK).
“Biarpun pengarang HMM tidak diketahui, seperti ditegaskan pada bahagian mukaddimahnya ia dihasilkan di zaman pemeritahan Sultan Mu’azzam Shah, Sultan Kedah yang kedua (1179 – 1201).
Manakala ATSNK mempunyai kelebihan kerana ia menyatakan tarikh seluruh rakyat Kedah memeluk agama Islam pada tahun 1136 Masehi bersamaan 531 Hijrah dan ditulis oleh seorang pembesar Istana Kedah ; Kerani Rahsia di zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 – 1943),” ujar beliau.
Sekiranya ditelusuri salasilah keluarganya pula, kata beliau, Muhammad Hassan Dato’ Kerani Muhammad Arshad, penulis ATSNK mempunyai pertalian keturunan dengan Syeikh Abdullah Yamani, ulama yang mengislamkan Raja Kedah, Sultan Mudzaffar Shah yang makamnya terdapat di Kampung Langgar Bujang, Merbok. Sehubungan dengan itu, kebanyakan fakta di dalam buku berkenaan dapat diyakini serta dipertanggungjawabkan tentang kesahihannya.
Berkaitan dengan usaha memperkembangkan Islam, beliau telah menyenaraikan sederetan ulama yang di samping mendirikan pondok bagi tujuan memesatkan sebarannya, juga turut mengarang kitab serta karya sastera dan sejarah.
Antara yang tersenarai ialah Haji Wan Idris Wan Jamal (Syeikh Jarum), Haji Mat Noor Abu Bakar, Haji Ismail Che Dol, Pak Chu Him dan Haji Yaakob Abdul Rahman. Juga terdapat para ulama dari luar iaitu Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, Muhammad Taib Al-Mas’udi Al-Banjar berserta cucunya Tuan Hussain Kedah dan Teuku Arsyad atau Teuku Di Balai (Bale) yang berasal dari Acheh dan menetap di Yan.
Selain membuka pondok-pondok pengajian, kalangan ulama juga turut menyumbang pemikiran bagi memantapkan sistem perundangan. Ia dapat dilihat apabila Hukum Kanun atau Undang-Undang Kedah dihasilkan pada tahun 1650 Masehi (1060 Hijrah) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626 – 1652).
“Sebuah lagi kitab perundangan yang dihasilkan berjudul Tembera Dato’ Paduka Tuan susunan Syeikh Alauddin di zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1662 – 1688).
Selain itu terdapat juga ulama yang ikut terlibat dengan perjuangan membebaskan Kedah bagi mempertahankan kesucian Islam iaitu Syeikh Abdul Qadir, Mufti Kedah dan saudaranya, Syeikh Abdul Samad Al-Falembani,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, kedua-dua mereka terlibat dalam perjuangan bersama 10,000 pejuang di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad Tunku Daud (1838-1839) yang makamnya terdapat di Masjid Sungai Pasir, Sungai Petani. Sementara Syeikh Abdul Samad telah syahid di Boyang, Singgora, Haadyai di selatan Thailand dan pusaranya ada di sana.
JADI EXTRA DRAMA RTM
September 8, 2008PADA 28.8.2008 sekitar jam 3.00 petang, Ruhie Isma sms minta hadhir di Auditorium Taman Budaya, Alor Setar untuk jadi extra sebuah drama terbitan RTM. Lebih kurang jam 5.30 petang Ruhie telefon maklumkan ada perubahan tempat iaitu di Auditorium RTM, Kompleks Mu’adzam Shah, Jalan Kuala Kedah. Manakala masa tidak berubah iaitu pada jam 8.30 malam. Juga dimaklumkan supaya dibawa bersama salinan kad pengenalan depan dan belakang atas kertas bersaiz A4 tanpa dipotong kerana pihak produksi akan menyimpannya sebagai dokumen.
Untuk masuk ke kompleks tersebut sebenarnya kena ambil pas atau lapor diri di pondok pengawal terlebih dahulu. Sebelum ini telah beberapa kali saya ke sana sama ada untuk menandatangani kontrak penerbitan drama apabila naskhah yang dikemukakan hendak dirakam di studio. Ruhie memaklumkan bahawa Ida (Setiausaha Kreatif Utama Budaya Anak Seni – KUBAS) akan berada di sana bagi menyelesaikan masalah tersebut jika berlaku sebarang kesulitan. Dalam hati saya berkata, ‘KUBAS yang dihubungi oleh pihak produksi rupanya’.
Lebih 10 tahun lalu iaitu sebelum diserang strok (angin ahmar) pada 17.9.1999 saya pernah beberapa kali terlibat dengan produksi drama sebagai extra juga selain ikut terlibat dengan teater. Aktiviti seumpama itu terhenti berikutan dengan kemelesetan ekonomi yang turut dirasa tempiasnya oleh kalangan syarikat penerbitan drama. Serangan strok yang saya alami juga telah membataskan penglibatan saya dengan bidang berkenaan.
Lepas menunaikan solat fardu Maghrib, saya bergegas ke destinasi seperti yang dimaklumkan. Suasana lengang sahaja dan pondok pengawal tiada sesiapa sewaktu saya tiba. Seketika kemudian, Ruhie tiba bersama anaknya, Andi yang memandu motokar. Kami terus ke bangunan kompleks yang juga lengang. Lalu saya menelefon Saiful Azwan (Pon) iaitu suami Ida untuk mendapatkan sedikit maklumat dan dimaklumkan bahawa para anggota KUBAS sudah ada di auditorium. Lalu Ruhie ajak saya terus ke sana.
Sewaktu tiba di luar auditorium didapati beberapa orang sudah berada di situ. Antaranya termasuklah Abu Bakar Ahmad, seorang yang telah beberapa kali terlibat dengan produksi drama tv dan teater. Saya lantas berbual dengannya. Antaranya ialah mengenai DJ RTM Kedah, Allahyarham Azarudin Othman (Pak Din) kerana bila berada di situ saya lantas teringat kepadanya. Mana tidaknya? Dialah yang telah menerbitkan drama berdasarkan naskhah drama radio sulung saya untuk slot Sandiwara Radiao berjudul ‘Sekali Bara Kugenggam’ lebih 10 tahun lalu. Sebak juga saya ketika itu.
Hampir jam 10.00 malam barulah kelihatan para pelakon dan crew tiba dan kami diminta masuk ke auditorium untuk diberi taklimat. Saya disuruh menukar pakaian dengan memakai sut Melayu lengkap dengan sampin dan bersongkok.
Setelah meneliti rupanya drama yang hendak dilakukan penggambaran itu diadaptasi daripada novel Sangeetha karya Azizi Haji Abdullah dan naskhahnya ditulis oleh Zakaria Ariffin (Zek).
Saya diminta naik dan duduk di pentas mengambil peranan sebagai orang kenamaan bagi menjayakan anugerah kepada Sangeetha selaku Tokoh Warga Tua 2007. Sementara menunggu giliran beraksi saya menyuarakan teguran berhubung dengan pemakaian ungkapan Warga Tua yang kurang tepat. Ungkapan yang tepat ialah WARGA EMAS.
Menurut pihak produksi ungkapan itu adalah berdasarkan naskhah yang sudah tentu bersandarkan sumber asal iaitu novel karya Azizi itu. Barangkali Azizi juga tidak menydari hal itu.
Pada 7.9.2008 saya menonton sebuah drama di RTM berjudul RINDU BERLALU dan para pelakon antaranya Abu Bakar Omar, Badrul Munir, Rosnah Johari dan Abu Bakar Juah yang melakukan penggambaran di Pusat Jagaan Warga Emas Cheras lantas ingatan saya tersorot kepada produksi drama Sangeetha dan berharap tidak ada kritikan berhubung dengan penggunaan ungkapan Warga Tua itu bila ia ditayangkan kepada khalayak kelak.
Saya juga dimaklumkan bahawa mengikut perancangan awal, penggambaran hendak dilakukan di Auditorium Taman Budaya, tetapi oleh sebab ia melibatkan kos terpaksalah dibuat di Auditorium RTM itu. Sebelumnya dirancang akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, juga tidak sesuai kerana ia terlalu luas.
Melihat kepada kaedah penggambaran yang menggunakan landasan (dolly) saya nyatakan bahawa jika ia dibuat di Auditorium Taman Budaya tentulah timbul kesulitan yang agak serius. Di sana kata saya ruang di hadapan pentas yang sempit menyulitkan kerja-kerja penggambaran selain terdapat keadaan ‘cerun’ (slop) dari pintu ke pentas. Dengan keadaan sedemikian, kerja-kerja penggambaran bukan tamat menjelang jam 12.00 malam malah mungkin hingga dinihari.
http://asalbayu.blogspot.com
KONFRONTASI
September 7, 2008KONFRONTASI.
Konfrontasi berlangsung sewaktu saya dalam darjah 5 (1964). Ada latihan menyelamat sebelum kami dilepaskan pulang atau waktu tamat waktu persekolahan. Isyaratnya ialah bunyi loceng yang digoncang dengan agak pantas bertalu-talu. Begitulah kami diberi taklimat oleh salah seorang guru. Kami disuruh pergi bersembunyi di luar bilik darjah apabila terdengar bunyi begitu. Masa yang berlangsung adalah kira-kira 20 minit. Bila keadaan sudah pulih kembali juga loceng akan dibunyikan tetapi dengan nada agak perlahan. Ketika itu kami bolehlah kembali ke bilik darjah semula dan berkemas untuk pulang. Pada hari pertama salah seorang rakan sedarjah kami tidak kembali ke bilik darjah. Ini mencemaskan guru darjah kami. Lalu kami beramai-ramai pergi mencarinya. Rupa-rupanya dia terlena di tempat persembunyiannya. Sebenarnya dia adalah ‘kaki tidur’ waktu dalam bilik darjah. Pernah ketika guru agama sedang menyampaikan pengajaran dengan selitan cerita lucu agar rasa mengantuk dapat dinyahkan dan kami semua sedang ketawa dia didapati terlelap dengan air liur basi meleleh. Begitulah salah satu kisahnya yang masih saya ingat. Pertanyaan yang sampai hari ini masih belum diperolehi jawapannya ialah mengenai kaedah membunyikan loceng itu. Sekiranya terjadi kecemasan waktu berada di rumah (Jumaat & Sabtu) bagaimana kita nak dengar isyarat loceng itu?
Hello world!
September 7, 2008Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!